19 January 2010

POLIGAMI


SALAM UKHUWAH BUAT SEMUA PEMBACA....

Kita bertemu lagi di penghujung malam ini bagi melangsaikan janji ana terhadap seorang pembaca yang meminta ana menulis tentang poligami. Sebelum layar ana labuhkan, sebelum bahtera ana luncurkan, jutaan kemaafan kepada pembaca yang menggelar dirinya hamba kerana ana lambat menulis, bukan ana sengaja...tapi, ana agak sibuk kebelakangan ini. Harap dapat maaf atas kelewatan ini. Juga sekalung penghargaan ana khususkan kerana sudi memberi idea dan meminta pendapat.

Duhai sahabat,

Istilah 'poligami' merupakan satu istilah yang khusus dalam bab perkahwinan. Berbagai tafsiran, makna, pandangan dan perasaan bila istilah ini diutarakan kepada lelaki mahupun perempuan. Namun, mungkin tafsiran dan pendapat yang berbeza. Kaum wanita sememangnya agak sensitif bila mendengar istilah ini. Tetapi jauh berbeza bila istilah ini diutarakan kepada kaum adam. Apapun tafsiran kita, hakikatnya adalah satu. Makna dan definisinya adalah satu sahaja.

'POLIGAMI' bererti mengamalkan beristeri lebih daripada satu iaitu dua, tiga atau had maksimumnya empat dalam satu masa. Kadang-kadang bagi kaum hawa, mereka tidak dapat menerima hakikat ini, ada yang berkata " Islam merendahkan kaum hawa "...." Islam tidak adil " dan sebagainya. Mereka sebenarnya mengatakan kerana mereka berasa cemburu. Cemburu itu sememangnya sifat yang azali bagi kaum wanita. Sekiranya orang memahami hakikat dan sebab poligami dalam Islam, maka tidak wujudlah berbagai spekulasi yang tidak baik dihamburkan kepada agama Islam. Sebab poligami dalam Islam adalah kerana lelaki atau suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya. Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sabit merupakan satu sebabnya. Selain itu, poligami dianjurkan dalam Islam kerana lelaki menjadi pembela kepada kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan kalimah Allah. Sebabnya juga adalah untuk menyelamatkan kaum wanita 'andalusia' yang belum berpeluang mendirikan rumah tangga.

Duhai pembaca sekalian,

Walaupun syarak telah membenarkan poligami, namun telah ditetapkan bahawa sekiranya seorang lelaki itu ingin berkahwin lagi, beliau mestilah ' berlaku adil ' dengan tidak menzalimi isteri pertama dan anak-anaknya dari segi nafkah, kasih sayang dan giliran. Inilah satu syarat yang amat sukar untuk diberi perhatian oleh mereka yang berpoligami lantaran dibuai oleh keserokkan beristeri baru. Sebab itu Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 3 :

فانكحوا ما طاب لكم من النساء مثنى وثلث وربع فإن خفتم ألا تعدلوا فواحدة أو ما ملكت أيمنكم ذلك أدنى الا تعولوا

" Maksudnya : maka berkahwinlah (dengan sesipaa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain) : dua, tiga, atau empat. Kemudian, jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." ( surah al-Nisa ; 3 )

Kadang-kadang kita selalu berfikir tentang poligami, kenapa adanya poligami dalam Islam...kadang-kadang kita dapat jawapan dan kadangkala jawapan hanya tinggal jawapan kerana buntu... Ada hikmahnya berpoligami. Mungkin dapat melahirkan zuriat bagi pasangan yang tidak dapat melahirkan anak kerana mandul, sakit dan lain-lain. Poligami juga adalah satu cara untuk melindungi kaum wanita yang tidak mempunyai suami atau kehilangan suami seperti gugur di medan perang. Antaranya juga adalah untuk mengelakkan lelaki daripada terjerumus ke lembah maksiat kerana nafsu lelaki tidak pernah kurang sedangkan nafsu perempuan makin berkurang bila bertambahnya usia. Kerana kaum wanita semakin lebih ramai daripada lelaki. Mungkin juga mengekalkan kerukunan rumah tangga.

Bila bertanya tentang penerimaan ana, agak berat juga untuk menjawab. Setiap wanita dibekalkan sifat cemburu. Wanita mempunyai perasaan yang lebih halus berbanding lelaki. Hati wanita lebih lembut berbanding lelaki yang bersifat keras. Wanita lebih cenderung menitiskan air mata bila jiwanya tersiksa kerana itulah satu-satunya senjata yang dimiliki. Wanita mana yang sanggup melihat suaminya bermesra, riang gembira dan gelak ketawa bersama perempuan lain. Walau hakikatnya dia membenarkan, namun siapa yang tahu dalam hatinya....kesabaran menggunung tinggi. Walau pada zahirnya dia tersenyum gembira, namun batinnya tersiksa, hatinya merintih pilu, sedih dan terluka. Dia selalu tersenyum untuk membahagiakan suami tercinta, namun, jiwanya lara, dia menghamburkan air mata ketika berseorangan tanda kecewa. Sekuat dan setabah mana seorang wanita yang bergelar madu, air mata jualah teman yang paling setia. Seorang wanita itu amat berat untuk menerima madu dalam hidupnya, kadang-kadang disebabkan masalah tertentu dan dia akur. Mungkin dia rasa lebih manis bila terkenangkan janji 'ar-rahman '. Madu itu umpama racun bagi seorang wanita. Madu itu amat pahit bagi kaum hawa dan amat manis bagi kaum adam.

Fitrah wanita adalah kasih sayang. Dia tidak mahu berkongsi kasih sayang juga adalah fitrahnya. Bila madu itu berlaku dalam rumah tangga, mungkin akan ada perubahan drastik yang berlaku. Bukan dia sengaja lakukan, namun naluri dan hatinya yang terbeban menyebabkannya berlaku secara automatik. Mungkin dia akan lebih suka berseorangan, meniti liku-liku hidup yang masih bersisa bagi menempuh ranjau dan duri dalam kamus kehidupan yang telah tersurat. Dia akan mula agak menjauhkan dirinya daripada suami tercinta. Bukan dia benci, tapi dia terlalu menyayangi. Dia tidak sanggup melihat suaminya dengan orang lain. Dia rasa dirinya sudah tak berguna lagi buat suaminya terutama bagi yang mandul. Dia umpama sampah yang terbuang di tepian. Dan kadang-kadang suami yang telah mendapat isteri baru, isteri lama sudah tidak dihiraukan. Kalau mengambil berat pun, mungkin agak berkurang. Ana sebagai seorang wanita, ana dapat rasakan peritnya hidup sebagai madu.

Namun, ketabahan itu hadir bila kita rasa kita bersama Ar-Rahim. Bila rasa cinta kepada pencipta melebihi cinta pada sang dicipta, maka madu yang pahit itu akan mudah diterima dan lenyap. Tapi, betapa sukarnya untuk mencapai tahap itu. Agak mustahil. Tapi, tidak mustahil. Dia sahaja yang dapat memberikah keadilan yang tidak pernah tergelincir dari landasannya. Jadi,ana sebagai seorang manusia biasa, walaupun faham hukum poligami, ana tidak menolak dan menentang. Namun itulah fitrahnya sifat wanita, amat berat untuk menerimanya kerana madu itu amat pahit dalam diari seorang wanita. Cukuplah sekadar di sini. Nukilan ini hasil dari hati ana yang tulus. Syukran.

No comments: