PENGENALAN

AKU HANYA INSAN BIASA

Seorang insan yang sangat biasa, tidak punya apa-apa. Dilahirkan di bumi yang terkenal dengan negeri jelapang padi. Anak ketiga daripada 11 orang adik beradik. Pendek kata, keluarga kami adalah keluarga yang agak besar. Sejak kecil, hidup dalam keadaan serba sederhana di bawah jagaan dan didikan kedua ibu bapa yang sangat mengambil berat dan penyayang. Impian bapaku yang ku panggil dengan panggilan 'abah' yang paling tinggi adalah membesarkan kami menjadi seorang hamba yang kenal akan TuanNya serta berbakti untuk semua. Tidak macam sejarah hidup abahku dulu sebelum kahwin dengan ibu yang ku panggil 'mak'. Namun, aku tidak pasti setakat mana kemampuanku untuk menjadi insan seperti yang diharapkan oleh kedua orang yang amat aku sayangi. Dari kecil aku ditatang bagai minyak yang penuh. Penuh dengan kasih sayang dan tunjuk ajar. Dididik dari hari kehari. Penat lelah langsung tak pernah dihiraukan. 

Abahku hanyalah seorang pekerja biasa di sebuah kilang swasta. Dalam masa yang sama, adalah seorang pejuang anak bangsa di kampungku. Aku sangat bangga punya abah sepertinya. Apa yang ku ketahui, abah dapat pangkat satu dalam SPM. Tapi, abah tak mahu sambung ke universiti seperti yang diharapkan oleh nenek kerana abah nak masuk ke pondok mendalami ilmu agama. Namun, nenek tak benarkan kerana bagi nenek peluang masa depan orang yang belajar pondok atau agama kurang cerah. Akhirnya abah berhenti belajar dan terus bekerja, memerah keringat di usia muda mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Abah ada inisiatif sendiri untuk belajar ilmu agama. Dan bermula pada saat itu, abah terus memandang ke hadapan dan tidak berpatah balik. Abah mula dengan pekerjaan kecil-kecil asalkan halal sehingga sekarang. Dan cita-cita abah untuk menjadi orang agamawan disambung terus dalam pendidikan anak-anaknya. Abah nak lihat anak-anaknya menjadi orang yang tahu dan pandai bab-bab agama walaupun diri sendiri kurang. Sekurang-kurangnya tempias agama itu dirasai oleh abah dan mak. Aku amat menyayangi abah. Inilah secara ringkasnya ku boleh cerita mengenai abahku.

Emakku pula punya sejarah tersendiri. Selepas habis darjah enam dengan keputusan yang cemerlang, gurunya minta emak sambung ke sekolah menengah. Dalam apa jua perkara, mak biasanya orang yang mendahului. Tapi, semuanya telah ditakdirkan untuk mak. Zaman emak belajar telah tamat selepas darjah enam. Mak diminta oleh atuk dan nenek melakukan kerja-kerja rumah, tiap-tiap hari jaga lembu, bagi makan rumput dan minum air dan bawa ke padang, pagi-pagi ke kebun tolong mengangkut susu getah dari kebun ke rumah untuk diproses menjadi getah keping. Kadang-kadang, susu getah tumpah atas kepala kerana perjalanan yang agak jauh, menyeberangi sungai dan berbukit bukau. Petang pula, menunggu dan menghalau burung di sawah padi. Dan sampai masa, memproses padi-padi yang menguning sehingga menjadi beras, menjaga adik-adik, menjaga kedai runcit atuk dan sebagainya. Itulah antara rutin emakku ketika usia masih awal belasan tahun. Namun jauh di sudut kecil hati mak, mak teringin sambung pelajaran seperti anak-anak yang lain. Dalam 10 orang adik beradik mak, semua dapat belajar kecuali mak. Mak lah orang yang mengorbankan dirinya untuk keluarga dan adik-adik. Semoga Allah merahmati dan memberkatimu duhai ibuku. Inilah kisah ringkas ibuku.

Selepas abah dan emakku diijabkabulkan, abahlah orang yang mengajar emak banyak tentang agama. Abah selalu bawa mak ke ceramah-ceramah dan majlis ilmu. Kadang-kadang abah tinggal mak untuk menghadiri mesyuarat. Jika terpaksa, abah tinggal mak dua tiga hari hingga seminggu jika jalan juang banyak kerja. Terus menerus sehingga kami dilahirkan. Begitulah kami dididik sehingga ku memahami sebagai seorang anak pejuang biarpun tidak dijelaskan. Perbuatan dan cara hidup ayahku telah menjelaskan segala-galanya. Aku mengerti dan semakin jelas dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Kini aku benar-benar  memahami hidup sebagai seorang anak pejuang agama. Biarpun sibuk untuk menyara kami 11 orang, abah tak pernah berputus asa. Kami semua dimasukkan kesekolah asrama yang yurannya mencecah ratusan ringgit setiap bulan. Dalam keadaan kami yang ramai, maka yurannya mencecah keribuan ringgit sebulan.  Kecekalan dan ketabahan emak dan abah amat dirasa olehku. Seboleh-bolehnya, segala masalah yang timbul semua dirahsiakan supaya aku dan adik beradik yang lain tidak berasa susah. 

Abah, terima kasih kerana membesarkanku supaya menjadi orang yang berguna. Semoga Allah merahmati dan terus memberi kekuatan dan semangat kepada abah supaya kami semua membesar sebagai orang yang diimpikan oleh agama. Emak, jutaan penghargaan yang tak terhingga ku kalungkan atas keupayaan mak sedaya upaya untuk memahami dan melayani kerenah kami  setiap masa tanpa rasa letih dan jemu sebagai anak-anak yang sedang membesar. Tak terbalas jasa yang kalian telah berikan biarpun seisi dunia ini sebagai balasannya. Moga aku terus hidup untuk menjadi orang yang berbakti kepada agama dan bangsa.

~SSQASSIFFAYYAZZ~

No comments: