27 December 2009

KENANGAN LALU


Salam kepada semua.

Dalam melewati malam yang kian sepi dan suram, ku terkenang kembali saat-saat manis yang ku lalui suatu ketika dulu. Syukur ku panjatkan kehadrat Ilahi kerana telah takdirkan diriku digelar sebagai seorang insan yang belajar di sebuah sekolah agama. Sebuah sekolah agama rakyat yang ku sayang, yang telah mendidikku supaya menjadi anak yang solehah. Masih terbayang di fikiranku saat aku menjejaki bumi Maahad, ketika itu, umurku belum lagi mencecah tujuh tahun. Ku rasa hati dan jiwaku kosong. Bagaimana di saat usiaku begitu, aku akan tinggal di asrama yang tidak diketahui keadaan dan suasana hariannya. Kelas yang tidak tertutup sepenuhnya, surau yang tiada dindingnya, dan semuanya serba kekurangan. Ku melangkah ke kantin yang dikenali 'dewan makan'. Dindingnya hanyalah menggunakan besi dan agak terbuka. Namun, tidak ku perkecilkan kerana itulah sekolah yang telah dipilih oleh ayah dan ibuku. Walaupun agak berat hati, namun ku gagahkan jua demi impian ayah dan ibu yang tercinta.

Hari pertama, aku dilayan umpama seorang raja. Aku rasa sungguh bahagia. Di sinilah, aku diajar disiplin yang tinggi. Setipa perkara yang dilakukan dari pagi sampai malam, semuanya mempunyai had masa. Aku cuba melakukan yang terbaik. Apa yang ku tahu, sekolah ini pembelajarannya bukan sahaja bahasa melayu, tapi juga bahasa arab. Namun, bahasa inggeris juga tidak ditinggalkan. Kali pertama berada di dalam kelas, aku terasa sunyi. Darjah satu ku sudah dikenali dengan sirah, fekah, tauhid, tafsir dan berbagai lagi subjek fardhu ain yang lain. Semuanya dalam bahasa arab. Kira-kira dalam 20 subjek semuanya termasuk akademik. Aku mula bimbang. Namun, ku cuba tabahkan hati menghadapi semua mata pelajaranku. Saat itu, terbayang muka ibu dan ayah yang memberi harapan. Terngiang-ngiang kata-kata ayah sebelum aku masuk ke sekolah ini. " Abah janji, kalau kak cik dapat nombor 1, abah bagi hadiah "

Aku yang ketika itu masih lagi di level yang rendah, hadiah merupakan satu benda yang diinginkan. Itulah naluri kebudak-budakan. Setiap hari, rutin kami sudah disusun oleh pihak pengurusan. Kami bersama melakukan satu perkara dalam setiap waktu. Masih terlayar di ingatan, kami akan dikejutkan pada awal pagi, kemudian masuk ke dalam surau dan berwirid. Selepas solat subuh, kami wajib menghafaz al-Quran mengikut sukatan yang telah ditentukan sehingga pukul 7.30. Kemudian, kami sarapan pagi dan menyiapkan diri untuk ke kelas. Sebelum kekelas, satu perhimpunan harian diadakan. Selepas itu, barulah kami ada kelas qiraati dan bacaan al-Quran. Seterusnya, barulah masuk kedalam kelas.

Andai ada masa lagi, ana akan sambung di lain kali. Firman Allah dalam surah an-naba' : " Wajaalna laila libasa ". " Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian bagi kamu. "...Maknanya untuk rehat dan tidur.....

No comments: