29 October 2009

MENCARI TUHAN DI DUA BENUA


SAHABAT.........
RENUNGLAH DAN HAYATILAH KISAH INI. MOGA-MOGA BERGUNA KEPADA KITA SEMUA..

Mencari Tuhan di dua benua.....MENGAPA SAYA MASUK ISLAM???????????

SEORANG yang menjajahi dua benua untuk mencari kebenaran telah menemuinya di sebuah kedai buku di London, dan sekarang dia sedang berusaha agar ia dapat ditemui oleh orang lain di rak-rak kedai buku. Anak muda itu akhirnya mendapat jawapan kepada persoalan yang sudah setahun setengah mengganggu fikiran dan lubuk hatinya di sebuah kedai buku di London, iaitu selepas menjelajah dua benua bagi mendapatkan jawapannya.
Watak utama dalam kisah yang memaparkan kesungguhan dan pencarian kebenaran yang tiada hentinya ialah Othman Ajunsun, seorang Muslim berbangsa Amerika, berasal dari New York. Dia sudah memeluk Islam lebih 20 tahun dahulu. Ayah Othman meninggal dunia ketika usianya baru setahun, dan dia dibesarkan sebagai seorang Ateis di kalangan orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan. Othman memiliki sebuah keluarga yang kecil, terdiri daripada ibunya, seorang kakak dan dirinya sendiri. Dia juga mempunyai saudara mara yang sekali sekala menjenguknya, begitu juga sebaliknya.

"Sebagai seorang kanak-kanak, saya sentiasa mempunyai kawasan berpokok yang luas di sekeliling rumah sebagai tempat bermain. Perkara pertama yang Tuhan tanamkan didalam hati saya ialah keyakinan bahawa Dia wujud," jelas Othman.

Pada tahun pertama di sekolah rendahnya, dia membuat satu laporan mengenai seorang penghuni gua, dan dia masih ingat membaca beberapa artikel yang harus dikajinya untuk menyiapkan laporan tersebut.

"Penghuni gua tidak mempercayai sebarang zat yang agung dan meyakini bahawa tidak akan ada kehidupan selepas mati," ingatnya.

Dia menambah lagi dengan mengatakan bahawa walaupun keluarganya ialah ateis dan mempunyai keyakinan yang sama dengan penghuni gua tersebut, bayangan tentang tidak ada kehidupan sama sekali selepas mati tiba-tiba membuatkan dia rasa takut.

"Saya mula menangis dan menjerit-jerit, dan keluarga saya tidak menolong kerana mereka tidak mempercayai kehidupan selepas mati. Markah saya lantas merosot ketika itu," katanya.

Oleh kerana keadaannya semakin teruk, keluarganya mengambil keputusan menghantarnya kepada seorang ahli psikiatri.

"Jangan susah hati, hanya kerana orang lain semuanya sudah mati, ini tidak bermakna yang awak juga akan mati," ingat Othman sambil meniru gaya muka ahli psikiatri itu.

Dia menghadiri kelas-kelas agama hanya untuk membolehkannya keluar lebih awal dari sekolah, dan dalam salah satu kelas tersebut, dia bertanyakan satu soalan kepada guru yang mengajar, "Bilakah Jesus tahu yang dia seorang Tuhan?"

Guru tersebut, yang agak tersentak dengan soalannya menjawab, "Itu satu soalan baik dan terdapat banyak pendapat yang berlainan mengenainya." Mengelirukan.

Peringkat kanak-kanak yang begitu mengelirukan dan memeningkan kepalanya akhirnya berlalu, dan budak lelaki kecil itu pun terus membesar bersama-sama soalan-soalan yang semakin bertambah. Tetapi baginya adalah penting untuk mencari jawapannya.
Dia mula membaca pelbagai buku agama yang berbeza tetapi semuanya tidak membawa Othman kepada kebenaran. Dia menemui beberapa orang yang menyebut tentang agama Islam, tetapi tidak pula menerangkan sesuatu mengenai ajaran agama itu sendiri.
Satu hari, dia terbaca, "Sekiranya anda mencari, anda akan menemuinya" di dalam kitab Bible. Itulah titik yang memulakan perjalanannya yang panjang dalam mencari kebenaran.

"Tuhan, saya akan berpergian. Tolonglah temukan saya kepada kebenaran " doanya sebelum dia memulakan perjalanan tersebut.

Othman menjelajahi benua Amerika dengan menumpang-numpang kereta orang, dari satu bandar ke satu bandar dengan fikiran yang penuh kekusutan dan kekeliruan. Pada satu ketika, apabila dia menumpang sebuah lori kecil ke Ohio, dia telah ditanya oleh dua orang lelaki di dalam lori tersebut,

"apakah anda hendak bekerja?"

Othman menjawab."ya, saya mahu bekerja di sebuah ladang untuk beberapa hari bagi mengetahui bagaimana keadaannya," katanya.


"Apakah yang kamu sedang cari, anakku?"

Tanya pemandu lori tersebut. Othman begitu terkejut mendengar soalan tersebut kerana dia tidak pernah memberitahu sesiapa akan tujuan pengembaraannya itu. Pada mulanya Othman agak kagum dengan lelaki yang sudah berusia itu, tetapi dia menjawab,

"Saya sedang mencari Tuhan."

Pemandu tersebut terus menoleh kepada lelaki yang berada di sebelahnya dan berkata,

"Kan saya dah katakan kepada awak tadi."

Kemudian Othman menghabiskan masa beberapa hari bekerja di sebuah ladang dengan lelaki tua tersebut. Peladang tua itu seorang yang menarik. Walaupun dia banyak menderita, Othman tidak pernah mendengar sesuatu yang buruk melainkan pujian untuk Tuhan dari mulutnya. Dari Ohio, Othman pulang ke rumahnya, dan kemudian bertolak pula ke Eropah. Dia menghabiskan masa sebulan di London. Sewaktu di London, dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan dia pun pergi ke kedai-kedai buku dan restoran. Sepanjang-perjalanannya itu, Othman sentiasa berdoa kepada Tuhan agar diberi-Nya petunjuk dan panduan.

"Saya begitu takut kalau-kalau saya tersalah langkah atau bertemu dengan orang yang salah, yang mungkin membawa saya kepada kesesatan,'' terang Othman.

Pada satu hari, dia pergi ke sebuah kedai buku dan melihat-lihat di dalamnya. Dia ternampak sebuah buku yang berjudul Muhammad. Buku itu pun diambilnya untuk mengetahui isi kandungannya. Dua orang lelaki yang berada di dalam kedai tersebut memerhatikannya. Mereka mendekatinya dan bertanya,

"Adakah anda berminat dengan Nabi Muhammad (s.a.w.)?" Othman tidak tahu apa yang harus dijawabnya kerana dia tidak tahu apakah kandungan di dalam buku yang telah diambilnya itu.

Kedua-dua lelaki tersebut, seorang daripadanya lelaki Muslim berbangsa Amerika, dan seorang lagi berbangsa Inggeris membawa Othman ke sebuah kedai kopi dan menerangkan tentang Islam kepadanya.

"Saya dapat merasakan dalam hati bahawa saya akhirnya menemui apa yang telah saya cari-cari selama ini. Mereka menerangkan kepada saya keseluruhan teori mengenai Islam dalam cara yang sungguh sopan, dan saya benar-benar yakin dengan penerangan mereka itu,"sambungnya lagi.

MEMPELAJARI

Kedua-dua lelaki itu kemudian membawa Othman ke rumah mereka dan menawarkan tempat tinggal di apartmen mereka. Di situlah Othman mempelajari lebih banyak tentang Islam.

"Ia satu pengalaman yang mengkagumkan. Mereka langsung tidak memaksa saya menerima apa-apa pengajaran daripada mereka; mereka cuma amalkan tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan begitulah cara saya belajar," terang Othman.

Othman memeluk Islam hanya selepas seminggu berada bersama-sama rakan-rakannya yang baru dikenalinya itu dan dia meneruskan lagi tempoh tinggalnya di rumah mereka agar dia boleh mengetahui dan belajar lebih banyak tentang Islam daripada mereka. Selepas itu, dia pun menghabiskan masa selama tiga tahun berdakwah mengenai Islam di pelbagai negara di Eropah.

"Saya diberitahu bahawa saya tidak perlu menunggu sehingga saya tahu segala-galanya mengenai Islam, sebelum saya boleh mengajak orang lain kepadanya. Apa yang ada pada saya sudah cukup untuk berbuat demikian dan saya berada bersama beberapa Muslim yang cukup alim, yang boleh memberikan saya tunjuk ajar apabila saya memerlukannya," kata Othman.

Di Pakistan, Othman mula menulis dan tujuannya hanyalah untuk menyediakan kisah-kisah yang menarik dan baik yang boleh menyumbang dalam menghiburkan dan mengajar anak-anak serta remaja tentang akhlak mulia, dan untuk menyediakan alternatif kepada bahan bacaan tidak berguna yang banyak terdapat di pasaran.

"Di dalam buku-buku saya, saya mahu memaparkan satu model untuk anak-anak kita mengikuti juga untuk mengajar mereka tentang soal-soal amanah, iman dan lain-lain perkara, di samping menghiburkan mereka agar mereka tidak leka dengan bahan-bahan yang melalaikan, yang banyak terdapat di pasaran."

Othman mula menulis di Pakistan 12 tahun lalu dan telah menghasilkan beberapa buah novel serta cerita-cerita pendek yang telah diterbitkan di seluruh dunia. Abdullah Yang Tidak Dapat Dikalahkan merupakan satu siri novel yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak Muslim dari England yang menempuh pelbagai pengalaman dan kesukaran. Perkara yang dapat mengeluarkannya daripada segala masalah tersebut ialah iman dan akhlak Islamiahnya. Dia juga menulis lebih kurang 36 kisah-kisah pendek dan 18 buah buku. Buku-buku tersebut juga banyak menarik perhatian dan mendapat sambutan yang baik, terutamanya di Amerika Syarikat.

Othman yang sekarang tinggal di Madinah, mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Al-Manarat dan sekarang sedang menulis novelnya yang kelima dalam siri `Abdullah Yang Tidak Dapat Dikalahkan'. Buku-bukunya boleh didapati di kedai-kedai buku tempatan. Akhirnya, segala-galanya nampak sudah sempurna buat Othman. Orang yang telah menjelajahi dua benua untuk mencari kebenaran, akhirnya telah menemuinya di sebuah kedai buku London dan sekarang sedang berusaha agar ia dapat ditemui oleh orang lain di rak-rak kedai buku.

No comments: