Assalamualaikum dan sejahtera buat semua mahasiswa dan pembaca. ‘ Mahasiswa Penentu Masa Depan Negara’ satu ungkapan ringkas yang difahami oleh semua individu. Sebagai mahasiswa yang berpendidikan, kita hendaklah sentiasa cakna dengan berita-berita yang dipaparkan di dada akhbar saban hari. Kita perlu berfikir dan menyedarkan masyarakat umum yang tidak sedar seperti kita. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru para pembaca supaya mengkaji dan menyelidik dahulu setiap berita yang disampaikan.
Muttakhir ini, pelbagai berita dan isu hangat telah dibincangkan dalam semua kalangan sama ada di peringkat atasan hinggalah ke peringkat bawahan. Berita ekonomi mengenai peruntukkan yang telah diberi oleh Kementerian Pelancongan sebanyak RM1.8 juta kepada syarikat Impact Creations Sdn Bhd untuk membina dan menyelenggara laman Facebook kerajaan selama tiga tahun, tentang gaji minimum yang dijangka akan dilaksana akhir tahun ini, mengenai kenaikan harga minyak, tarif elektrik, isu Kelab Isteri Taat dan lain-lain lagi.
Namun, saya di sini terpanggil untuk mengulas jawapan yang telah diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap persoalan yang telah diutarakan oleh Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berkaitan jumlah permohonan murtad dan kelulusannya mengikut negeri bagi penganut agama Islam sepanjang sedekad yang lalu. Beliau menjawab pertanyaan ini dengan menyatakan bahawa Mahkamah Syariah telah menerima sebanyak 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam sejak dari tahun 2000 hingga tahun 2010 dan sebanyak 168 orang diluluskan mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya. Tetapi berbeza pula mengikut kiraan Malaysiakini yang menyatakan jumlah permohonan sebanyak 686 dan yang diluluskannya seramai 135 orang.
Tidak berkepentingan jika kita ingin bincang mengenai jumlah. Tetapi, yang perlu kita bincangkan adalah hakikat masalah ini. Permohonan murtad semakin meningkat dan dengan mudah diberi kelulusan. Dalam masa yang sama, tiada pihak yang mengambil tindakan terhadap peningkatan kes ini terutamanya pihak yang bertanggungjawab. Berkaitan dengan tindakan yang diambil terhadap masalah ini, mengikut penjelasan yang diberikan oleh beliau, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa melaksanakan program dan aktiviti bagi menanganinya terutama dalam kalangan saudara-saudara baru. Antara program yang dijalankan seperti khidmat nasihat, aktiviti pengukuhan agama, kelas pengajian agama, ziarah dan lawatan ke rumah dan sokongan Baitul Mal.
Berhubung kes ini, kita sebagai umat Islam mesti memandang kes ini sebagai satu masalah besar yang serius dan mestilah mengambil berat terhadapnya. Cuba kita lihat data yang dibekalkan oleh Azlan Zamhari dalam akhbar Malaysiakini mengenai bilangan permohonan dan kelulusan setiap negeri. Semua negeri telah mencatatkan permohonan murtad kecuali negeri Kelantan. Negeri yang paling ramai adalah Sabah dan diikuti Negeri Sembilan. Kemudian Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perak. Mengapa hal ini terjadi? Siapa yang patut dipersalahkan? Adakah kita sebagai orang yang sedar hanya berdiam diri membiarkannya berlalu?
Hal ini berlaku disebabkan mereka tidak memperolehi pendidikan agama. Jika ada pengetahuan agama pun, hanya sedikit sahaja bahkan kadang-kadang kefahaman agamanya songsang. Bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak diberi. Keadaan ini merupakan punca utama. Jika kita fikir, mengapa negeri Kelantan permohonan sifar, maka kita sendiri dapat berfikir. Hal ini kerana di sana, wujud individu berpengaruh dan berkuasa yang berusaha memberi dan mengajar ilmu agama setiap minggu. Tuan Guru misalnya contoh yang jelas kepada orang ramai, memberi kuliah agama setiap minggu kepada semua rakyat Kelantan dan sesiapa sahaja. Kelas-elas agama berjalan dengan rancak tanpa kekangan daripada mana-mana pihak.
Inisiatif yang harus diambil bukanlah seperti hanya melepaskan batuk ditangga. Sekadar melakukan sesuatu untuk dicatat di atas kertas. Semua individu perlu bertanggungjawab. Kita mesti melakukan cara yang paling baik dengan kedudukan kita di sesuatu tempat. Jika sebagai mahasiswa, lakukan seperti seorang mahasiswa. Jika golongan berpendidikan seperti pensyarah, berilah pengajaran yang betul untuk mendidik masyarakat dan anak muda. Dan jika pekerja dan penjawat awam, lakukan cara yang boleh semampunya. Dan kedudukan yang paling penting untuk mengubah kes ini dengan lebih mudah adalah pihak yang mempunyai kuasa. Gunalah kuasa yang ada untuk kebaikan Islam. Jangan salah gunakan kuasa yang ada untuk perkara-perkara lain.
Kita tidak boleh membiarkan perkara ini terus menerus melanda masyarakat beragama Islam. Mereka yang berkuasa mesti bertindak tegas supaya kes ini tidak terus berlaku. Kerajaan yang selalu menyiar-nyiarkan Malaysia sebagai negara Islam dan mempunyai kekuasaan yang besar sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memohon untuk menukar agama. Dalam masa yang sama, tindakan segera perlu diambil supaya tidak melarat. Dan tindakan yang diambil mestilah bersifat positif dan memberi kesan terhadap diri dan jiwa. Lebih baik jika langkah itu memberi kebaikan dalam jangka pendek dan panjang. Tidak hanya membuang masa dan wang sahaja. Berfikir dan merancang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya dengan serius. Andai kelulusan terus diberi, masyarakat Islam yang longgar fahaman agamanya akan terus memohon terutamanya golongan muda yang akan meneraju pimpinan negara kelak. Hal ini amat membimbangkan.
~ BERSATU BERUBAH DEMI ISLAM~