06 July 2011

Hanya Seorang Musafir

 "Visi akhirat bagi manusia bukan sekadar menghubungkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat-ibadat khusus, bahkan hubungan sesama manusia untuk mencapai keredhaanNYA."

Salam ukhuwah kepada semua pembaca.Bagaimana keadaan anda semua pagi ini? Bulan Sya'ban sudah tujuh hari berlalu...tidak lama lagi kita akan melangkah ke dalam madrasah Ramadhan..Bersediakah kita? Entah sempat ataupun tidak kita tak pasti..Apapun, dalam kesibukkan kita melaksanakan tanggungjawab yang terpundak di bahu, jangan kita lupa kepada tempat pergantungan kita yang paling ampuh. Tanpa Dia  siapalah kita.
 Hari yang damai penuh ketenangan...di saat burung-burung keluar mencari makanan. Kita pula keluar mencari rezeki. Maka berdoalah pada Allah di waktu pagi dan petang supaya langkah kita sentiasa diiringi keredhaanNya. Sudah lama ana tidak menulis...jadi hari ini, teringin pula berkongsi ilmu dengan para pembaca yang mungkin jarang-jarang buka blog ini.



"Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh dii bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon tendang itu dan meneruskan perjalanan." 

Hadith ini diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w ketika mana ditegur oleh sahabatnya Abdullah Ibnu Mas'ud berkenaan alas tidur Rasullah yang diperbuat dari daun kurma yang kasar sehinggakan kesan jalur-jalur terlihat jelas di belakang Rasulullah selepas baginda bangun daripada pembaringannya.  Timbul kasihan belas di hati sahabatnya dan beliau berkata: 'Ya Rasulullah, sekiranya engkau perintahkan aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut untukmu nescaya aku akan berusaha mendapatnya'. Maka hadith inilah sebagai jawapan baginda atas pertanyaan tersebut.

Jadi sahabat-sahabat, berdasarkan hadith tadi, kita dapat fahami bahawa  kehidupan kita dunia ini terlalu singkat. Umpama seorang musafir yang berhenti rehat di bawah sepohon pokok hanya untuk menghilangkan letih dan dahaga disamping menambah bekalan yang sudah habis. Setelah segar kembali, maka janganlah leka untuk menyambung perjalanan yang masih panjang. Hanya sedetik sahaja jika nak dibandingkan dengan umur dunia yang panjang, bahkan lebih pendek daripada itu jangkanya jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat kerana sehari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia.

Tapi, adakah anda perasan? Bila kita berhenti rehat seketika untuk melepaskan lelah, kadang-kadang kita asyik dan terlena sehinggakan memakan masa yang begitu panjang. Sudahlah rimbun dan teduh, apatah lagi bila rumputnya karpet, buah-buahan pula bergayutan di dahannya...Sesekali bayu menghembus lembut menjadikan kita rasa tenang dan damai. Pasti lagi lama kita akan rehat di situ.
Ad-dunya Darul Amal. Dunia adalah tempat singgahan untuk kita membuat persiapan bekalan sebagai persediaan kita untuk ketempat yang jauh dan kekal. Jangan kita lalai dan terpukau dengan kenikmatan yang tidak seberapa. Jika kita terleka dengan dunia, maka harapan kedua tidak akan datang lagi. Harapan hanya tinggal harapan. Ini kerana jika kita memilih dunia, maka kita hanya dapat harapan dunia. Tetapi jika kita memilih akhirat, maka kita akan memperoleh kedua-duanya. 


Maka manusia mestilah bekerja bagi menyediakan bekalan yang cukup untuk hari akhirat. Bekalan itu bukanlah hanya solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Bahkan sebarang pekerjaan atau urusan yang melibatkan harta dunia seperti berniaga, bercucuk tanam, pengurusan, pentadbiran dan sebagainya. Semuanya adalah ibadah jika dilakukan mengikut syariat dan lunas-lunas Islam.


Kesimpulannya, kita mestilah menggunakan sebaik-baiknya ruang dan peluang yang ada dengan mempersiapkan diri sebaik yang mungkin. Masa yang terlalu singgakt ini penuhilah dengan amalan-amalan dan kemahiran dengan bermodalkan, ilmu, akal, kesihatan, harta, tenaga, tubuh badan dan modal-modal lain yang tidak perlu dicari. Semuanya telah di beri free oleh Allah SWT. Walaupun dunia hanya satu persinggahan sementara, tetapi ia amat beerti bagi mereka yang mencari bekalan yang cukup. Demikianlah hakikat dunia yang perlu kita tanamkan dalam fikiran kita setiap masa supaya ia menjadi satu motivasi yang bakal merealisasikan harapan dan cita-cita kita yang paling tinggi, iaitu mencapai ganjaran syurga Allah yang kekal abadi. Sekian, wassalam.